"Dan apabila aku sakit, maka DIA (ALLAH SWT) lah yang menyembuhkan penyakitku"
Kadang kala kita telah bersusah payah berusaha sedaya upaya mendapatkan penawar kepada penyakit kita samada melalui perubatan moden atau tradisional, akan tetapi disebabkan keyakinan kita yang silap penyakit kita tidak juga sembuh. Maksudnya, kita hendaklah yakin bahawa ALLAH SWT yang beri penyakit itu kepada kita dan kita hendaklah banyak istighfar dan redha dengan ketentuanNya. Dan hendaklah yakin bahawa yang akan menyembuhkan kita bukan penawar yang diperolehi tetapi ALLAH SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (usaha mendapatkan penawar adalah perlu sebagai asbab). Oleh tiu, doa di atas yang terdapat di dalam Al-Quran akan memperbetulkan yakin kita, agar tidak lupa bahawa yang menyembuhkan penyakit kita adalah ALLAH SWT.
Sebagai tauladan, kita lihat ringkasan kisah Nabi Musa a.s. ini:
Pada suatu hari Nabi Musa a.s. mengalami sakit perut dan mengadu kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT telah perintahkan Nabi Musa a.s. makan daun dari sejenis pokok. Maka, dengan izinNya, Nabi Musa a.s. telah sembuh. Pada suatu masa yang lain Nabi Musa a.s. telah mengalami sakit perut yang sama sebagaimana tempoh hari. Nabi Musa a.s. pun terus mendapatkan penawarnya, iaitu daun dari pokok yang sama. Namun sakit perutnya tidak sembuh, maka Nabi Musa a.s. telah mengadu kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT telah terangkan kepada Nabi Musa a.s., pada kali pertama sakit perut, dia merujuk kepada ALLAH SWT, tetapi pada kali kedua, Nabi Musa a.s. tanpa merujuk kepda ALLAH SWT terus mendapatkan penawar itu, maka ALLAH SWT tidak menyembuhkan penyakitnya.
Kesimpulannya di sini, kita perbetulkan yakin kita, bahawa yang akan menyembuhkan penyakit kita adalah dengan qudrat ALLAH SWT, dengan cara membaca dan menghayati doa di atas dari Ayat 80: Surah: Asy-Syu'araa'.
Dari Kitab Qashashul Anbiya:
Di dalam Al-Quran Allah swt telah beri contoh bahawa yang menyembuhkan penyakit adalah dengan kehendak dan izin dari Allah swt serta doa melalui kisah Nabi Ayub as di dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 83 dan 84.
Kisah Nabi Ayub ini panjang jika hendak diceritakan di sini. Saya rasa memadai jika diceritakan secara ringkas. Semasa sihatnya, Nabi Allah Ayub as ini adalah seorang yang amat kuat ibadatnya sehinggakan seorang malaikat telah beritahu kepada mereka yang lain, "Aku tidak melihat seorang manusia yang hidup atas bumi Allah yang lebih baik dari hamba Allah Ayub. Dia adalah seorang mukmin sejati, ahli ibadat yang tekun. Dari rezeki yang luas dan harta kekayaan yang diberikan oleh Allah kepadanya, dia asingkan sebahagian untuk menolong orang-orang yang memerlukan dan fakir miskin. Hari-harinya penuh dengan ibadat,sujud kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan kurnia yang diberikan kepadanya".
Iblis laknatullah telah mendengar kata-kata malaikat ini, berasa panas hati dan berusaha untuk merosakan ibadat dan keimanan Nabu Ayub as. Setelah mendapat izin daripada Allah swt, Iblis telah lenyapkan kesemua harta kekayaan dan anak-anaknya agar tergugat iman, tawakkal dan kesabaran Nabi Ayub as sehingga menjadi miskin. Namun Iblis telah gagal dalam misinya. Lalu Iblis telah berjumpa dengan Allah swt, "Wahai Tuhanku, Ayub telah kehilangan semua harta benda dan seluruh kekayaannya dan hari ini ditinggalkan oleh anak-anaknya yang mati terbunuh dibawah runtuhan gedung yang kami telah hancurkan. Namun dia tetap dalam keadaan mentalnya yang kuat dan sihat.Dia hanya menangis tersedu-sedu namun batinnya, jiwanya, iman dan kepercayaan kepadaMu tidak goyang sama sekali.Izinkan aku mencubanya kali ini mengganggu kesehatan badannya dan kekuatan fizikalnya. Jika dia jatuh sakit dan kekuatannya menjadi lumpuh, nescaya dia akan mulai malas melakukan ibadat dan lama-kelamaan akan melalaikan kewajipannya kepadaMu dan menjadi lunturlah iman dan aqidahnya.".
Iblis dan kuncu-kuncunya telah menaburkan kuman-kuman penyakit ke dalam tubuh Nabi Ayub as. Akibatnya, Nabi Ayub menderita beberape penyakit, demam panas, batuk dan lain-lain sehingga badannya menjadi kurus, tenaganya lemah, wajahnya pucat tidak berdarah dan kulitnya menjadi berbintik-bintik. Dia akhirnya dijauhi oleh penduduk kampung dan sahabat handai kerana adanya isu penyakit Nabi Ayub ini akan menjangkiti orang yang mendekatinya. Dia menjadi terasing dari pergaulan orang ditempatnya dan hanya isterinyalah sahaja yang mendampinginya dengan penuh kesabaran dan rasa kasih sayang.
Namun dalam keadaan Nabi Ayub as yang parah, mati tidak, hidup pun tidak, dia tetap tidak meninggalkan ibadatnya dan mulutnya tidak berhenti-henti menyebut nama Allah swt, memohon pengampunan dan lindungan Allah swt bila dia merasa sakit. Dipendekan cerita, pada suatu hari Nabi Ayub as telah bermunajat kepada Allah swt, dengan sepenuh hati memohon rahmat dan kasih sayang dariNya, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani".
Allah swt telah menerima doa Nabi Ayub as lalu Allah hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Allah swt kurniakan kepadanya keluarganya, dengan sekali ganda ramainya sebagai satu rahmat.
Dari kisah ini, kita dapat kesimpulan bahawa dalam keadaan sakit pun kita perlu teruskan dan luangkan masa untuk beribadat kepada Allah swt sebagaimana kita sihat. Dari kisah ini juga kita lihat penawar kepada penyakit Nabi Ayub as adalah doa dan keyakinanannya terhadap kudrat Allah swt.